Selasa, 20 Oktober 2015

FITNAH MEDIA SOSIAL

Farhat Nazirul Mubin Bin Bohari
Calon Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
No Matrik: P-SM0013/14

Pengenalan

Media sosial merupakan platform yang digunakan secara meluas untuk perkongsian maklumat dalam kalangan manusia seluruh dunia. Istilah media sosial ini merujuk kepada penggunaan media yang berasaskan kepada internet atau perkhidmatan mudah alih yang membolehkan penggunanya menyertai pertukaran atas talian, menyumbang kepada kandungan yang diciptakan pengguna atau menyertai komuniti atas talian (Dewing, 2010). Sehingga kini, telah banyak aplikasi-aplikasi media sosial yang dicipta sebagai medium pertukaran maklumat seperti Chrome dan Whatsapp. Selain daripada sebagai kaedah berkomunikasi, media sosial ini turut berperanan sebagai alat pemasaran bagi perniagaan dan juga digunakan secara meluas untuk pelbagai kempen seperti kempen kesedaran. Laman sesawang seperti Facebook, Twitter dan Instagram banyak digunakan kerana mampu mencapai lebih ramai pengguna dan lebih cepat berbanding penggunaan media massa (Lifintseva, Isaev dan Shishkina, 2015). Namun, di sebalik pelbagai kelebihan dan kebaikan yang wujud ini, tersembunyi suatu perkara yang amat membahayakan umat manusia iaitu fitnah. Menurut Roslan Mohamed dan Siti Aishah Abu Bakar (2010), sebelum sesuatu pembangunan fizikal boleh dilakukan, akal dan jiwa manusia perlu dibangunkan terlebih dahulu demi melahirkan insan yang berfikiran bersih dan berakhlak mulia. Perbuatan fitnah secara sengaja atau pun tidak melalui media sosial, menunjukkan kekurangan pembentukan insaniah yang dimiliki oleh penyebarnya.

Allah SWT berfirman:

"Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir."
(Surah al-Baqarah, 2:191)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan bahawa fitnah itu lebih besar daripada pembunuhan. Perbuatan fitnah ini juga tidak selari dengan konsep hubungan manusia dengan manusia (habl min al-nas) yang ada dalam Islam sedangkan konsep menjaga hubungan antara manusia amat ditekankan dalam Islam seperti di dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Jauhilah prasangka buruk, karena prasangka buruk ucapan yang paling dusta, dan janganlah kalian saling mendiamkan, jangan saling mencari kesalahan dan jangan saling mendengki, jangan saling memusuhi dan jangan saling membenci, dan jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Riwayat al-Bukhari 6064, 78:94)
  
Fitnah juga merupakan perbuatan orang-orang munafik berdasarkan Firman Allah:

"Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya."
(Surah an-Nisaa', 4:91)

Ayat di atas menunjukkan bahawa golongan munafik ini sanggup memfitnah orang Islam sendiri demi mencapai kesejahteraan bersama dengan golongan kafir. Oleh itu, adalah amat penting untuk kita menjauhi perbuatan fitnah demi pembangunan insaniah diri dan mencapai matlamat hidup yang utama iaitu mencari keredhaan Allah (mardhatillah).


Definisi

Fitnah merupakan satu jenayah di Malaysia dan perbuatan fitnah ini boleh dijatuhkan hukuman di bawah Akta Fitnah 1957. Fitnah dari sudut bahasa bermaksud ujian. Dari pengertian pula bermakna penganiayaan, kekejaman, syirik, kufur kepada Allah SWT, pembunuhan, murtad dan lanjutan kepada pengertian ini membawa kepada pentakrifan fitnah sebagai penyebaran kepalsuan (Syaifuddin Zuhri, 2012). Perbuatan fitnah bukan saja dilarang dalam Islam, malah pihak barat turut menyatakan fitnah ini sebagai satu jenayah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Sivil California yang menyatakan bahawa fitnah merupakan penerbitan palsu dan menjatuhkan yang diucapkan secara lisan melalui komunikasi radio atau apa-apa cara mekanikal atau lain-lain (Lundmark, 2006). Maka, fitnah media sosial boleh didefinisikan sebagai penyebaran kepalsuan dengan menggunakan media sosial sebagai perantaraan.


Kesan-kesan Fitnah Media Sosial

Perbuatan fitnah ini amat berbahaya kerana berlaku di semua peringkat manusia dari kalangan individu, keluarga, masyarakat, organisasi bahkan negara. Penggunaan media sosial sebagai kaedah berkongsi maklumat sangat digemari kerana capaiannya yang lebih pantas dan dan pengguna yang ramai. Fitnah boleh mengakibatkan kesan yang seperti berikut:

i)        Permusuhan individu
Fitnah boleh menyebabkan seseorang itu bermusuh dengan orang lain. Amalan kebebasan dan keterbukaan dalam bersuara boleh menjejaskan kredibiliti dan maruah individu tertentu (Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa, 2009). Apabila seseorang itu melakukan fitnah dan orang yang difitnah itu mengetahui tentang perkara tersebut menyebabkan tercetusnya kebencian antara satu sama lain.
  
ii)      Kemusnahan institusi kekeluargaan
Berlaku apabila wujudnya perselisihan dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara yang menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah yang menyerang antara satu sama lain. Maka, hubungan persaudaraan menjadi renggang dan sekaligus memusnahkan institusi kekeluargaan. Fitnah terhadap individu di dalam satu keluarga juga turut menyebabkan seluruh ahli keluarga menjadi malu.

iii)    Perpecahan masyarakat
Fitnah yang berlaku dalam kalangan masyarakat menyebabkan perpecahan masyarakat dan umat Islam apabila sekumpulan manusia dalam masyarakat menfitnah sekumpulan yang lain. Penggunaan media komunikasi secara tidak berakhlak boleh menyebabkan keruntuhan nilai-nilai yang baik dalam sesuatu masyarakat (Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa, 2009). Hal ini biasa dilihat dalam senario politik di Malaysia di mana sebuah parti politik memfitnah parti lawan yang lain kerana mahukan kemenangan politik. Penyebarannya menggunakan media sosial menjadikan fitnah ini berlaku tanpa kawalan.

iv)    Pertelingkahan organisasi
Perbuatan fitnah media sosial yang berlaku di antara organisasi-organisasi boleh memberi kesan kepada prestasi sesuatu organisasi itu. Apabila organisasi A menyebarkan fitnah terhadap organisasi B, pandangan masyarakat akan menyebabkan perkhidmatan dan barangan organisasi B tersebut tidak lagi dilanggan atau digunakan. Penggunaan media sosial sebagai medium pula menyebabkan kehancuran organisasi B dengan lebih cepat. Situasi ini boleh berlaku apabila sesuatu organisasi itu mahu memonopoli pasaran perniagaan yang diceburinya. Persaingan tidak sihat seperti ini juga akan turut membawa kepada kegagalan ekonomi negara.

v)      Kehancuran negara
Perkara yang paling ditakuti akibat dari perbuatan fitnah ini ialah membawa kepada kehancuran negara. Menurut Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa (2009), penyalahgunaan media komunikasi boleh menggugat keselamatan negara. Apabila berlakunya isu-isu besar dalam kalangan pemimpin-pemimpin negara disebabkan oleh fitnah dan disebarkan pula melalui media sosial, pasti akan wujud pihak luar yang pantas berminat untuk mencampuri hal berkenaan sama ada bertujuan untuk mengambil kesempatan atau kepentingan sendiri.


Langkah-langkah Mengelakkan Perbuatan Fitnah Media Sosial

Sesetengah fitnah media sosial ini dilakukan dengan sengaja iaitu oleh pencetusnya manakala sesetengah lagi fitnah media sosial ini berlaku tanpa niat dilakukan oleh pihak yang berkongsi maklumat yang disangka benar tetapi adalah suatu fitnah sebenarnya, maka perkongsian fitnah ini turut menjadi pendosa. Maka, individu seharusnya berhati-hati dalam menyebarkan maklumat kerana maklumat tersebut berkemungkinan palsu dan menjadi suatu fitnah kepada orang lain. Oleh itu, sebelum seseorang itu menulis dan berkongsi maklumat melalui media sosial, beberapa langkah harus dilakukan terlebih dahulu. Langkah-langkah tersebut adalah:


i)        Penambahan Ilmu
Sebelum menulis atau menyebarkan sesuatu maklumat melalui media sosial, seseorang itu haruslah mempunyai ilmu dan menambah ilmu secara berterusan. Sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu, sesuatu maklumat itu dapat dikenalpasti sama ada rekaan atau pun kenyataan ketika sesuatu maklumat itu diterima. Penyebaran ilmu yang salah juga boleh membawa kepada fitnah. Firman Allah SWT:

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
(Surah al-Israa', 17:36)

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh menuruti sesuatu yang tidak kita ketahui. Melihat kepada perbuatan fitnah melalui media sosial pula, penyebaran atas dasar perkongsian semata-mata tanpa ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang turut dilarang kerana boleh menyebabkan berlakunya fitnah.

ii)      Kesahihan bukti dan sumber
Pengesahan bukti dan sumber ini telah lama wujud dalam Islam dalam periwayatan hadis di mana kebenaran hadis itu dikenalpasti melalui sanad dan matannya. Dalam isu berkaitan penyebaran maklumat melalui media sosial, seseorang yang mahu menulis atau menyebarkan sesuatu maklumat melalui media sosial haruslah memastikan sumber tulisannya itu adalah benar dan mempunyai bukti. Sekiranya bukti tidak kukuh atau diragui, maka tidak sepatutnya disebarkan kepada orang ramai supaya tidak menjadi fitnah kepada orang lain dan lebih baik ia diam berbanding mengatakan perkara yang tidak baik. Daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

“Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.
(Riwayat al-Bukhari 6138, 78:165)

Berdasarkan hadis di atas, jelas dinyatakan bahawa adalah lebih baik berdiam diri dari bercakap perkara yang tidak baik termasuklah fitnah.

iii)    Keyakinan
Sebelum menyebarkan sesuatu maklumat itu, hendaklah yakin bahawa maklumat tersebut adalah benar setelah memenuhi kedua-dua perkara dia atas iaitu ilmu dan kesahihan maklumat tersebut. Sekiranya yakin walaupun didapati sumbernya adalah tidak benar atau tidak mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut, maka tidaklah boleh maklumat tersebut disebarkan, manakala sekiranya tidak yakin walaupun kedua-dua perkara tersebut telah dipenuhi, adalah lebih baik jika maklumat tersebut tidak disebarkan.
  
Ketiga-tiga langkah di atas adalah amat penting untuk dinilai sebelum sesuatu maklumat yang diterima melalui media sosial itu diterima secara bulat-bulat. Rajah di bawah menyimpulkan kaedah yang sesuai sebelum sesuatu penyebaran maklumat melalui media sosial dilakukan:



Penutup

Penggunaan media sosial saban hari semakin meluas. Fitnah hanyalah salah satu unsur bahaya yang wujud dalam penggunaan media sosial kini. Sekiranya seseorang itu telah sedar melakukan perbuatan fitnah ini, maka wajiblah baginya untuk memohon maaf kepada orang yang difitnahnya itu. Demi pembangunan insaniah diri masing-masing, setiap golongan sama ada individu mahupun organisasi seharusnya berhati-hati menggunakan media sosial kerana di sebalik kebaikan penggunaan media sosial tersembunyi pelbagai keburukan yang bukan setakat menjejaskan orang lain, malah boleh menjejaskan akhlak dan akidah diri sendiri.


BIBLIOGRAFI

Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa (2009). Kebebasan

media komunikasi menurut perspektif Islam. Jurnal Hadhari Bil 2, 65-82.

Lifintseva T. P., Isaev L. M., dan Shiskina A. R. (2015). Fitnah: The afterlife of a

religious term in recent political protest. Religions, (6), 527–542.


Lundmark T. (2006). California civil and commercial codes abstratcted. Die Deutsche

Bibliothek. Denmark.

Roslan Mohamed dan Siti Aishah Abu Bakar (2010). Pembangunan masyarakat ke

arah kesejahteraan berteraskan pembangunan insan. Akademi Pengajian Islam. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Syaifuddin Zuhri (2012). The concept of fitnah in sūrah al-Baqarah verse 191 and 

217 (By analysis of Mohammed Arkoun’s semiotic). Thesis Submitted to Faculty of Ushuluddin to Fulfill a Requirement to Gain Undergraduate Degree in Islamic Theology (Tafsīr - Ḥadīth). Special Program Of Ushuluddin Faculty State Institute Of Islamic Studies (Iain) Walisongo Semarang.